Sunday

Tolak gaji amah RM800

KERAJAAN Malaysia menolak permintaan Indonesia untuk menetapkan gaji minimum RM800 untuk amah dari negara berkenaan. - Gambar hiasan

PORT DICKSON - Malaysia menolak permintaan Indonesia untuk menetapkan gaji minimum RM800 bagi pembantu rumahnya kerana negara ini sendiri tidak mempunyai struktur gaji minimum.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, perkara itu antara penyebab Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia mengenai pembantu rumah belum dapat dimuktamadkan.

"Di Malaysia, kita belum mengamalkan konsep gaji minimum. Pendirian kita dari dahulu ialah gaji diasaskan oleh kuasa pasaran dan itulah dasar kerajaan pada masa sekarang.

"Susahlah kita nak amalkan pada bidang yang satu ini sahaja, iaitu pembantu rumah," katanya selepas merasmikan Program Motivasi dan Latihan Kerjaya untuk belia kaum India anjuran Pertubuhan Perpaduan Hindu Thamizar Negeri Sembilan di Pasir Panjang dekat sini semalam.

Beliau berkata, jika tuntutan Indonesia berhubung penetapan gaji minimum itu dilayan, amaun yang sama juga mungkin terpaksa dibayar kepada pekerja dalam sektor lain.

Subramaniam bersetuju jika gaji tinggi ditawarkan kepada pembantu rumah Indonesia yang berkemahiran serta dilatih khusus untuk bekerja di negara ini.

"Bagaimanapun, apa yang kita setuju ialah gaji boleh diasaskan kepada kemahiran kerana mereka yang mempunyai kemahiran lebih tinggi wajar diberi gaji yang lebih tinggi daripada seorang yang tidak mempunyai kemahiran," katanya.

 
Cheap Web Hosting | Top Web Hosts | Great HTML Templates from easytemplates.com.